Mungkin ramai antara guru bahasa yang tidak begitu jelas mengetahui manfaat yang boleh mereka dapati daripada ilmu psikolinguistik. Dengan kata lain mereka tidak mengetahui kegunaan linguistik di dalam bilik darjah. Ini bukalah kesalahan guru bahasa sahaja. Ada banyak sebab yang menimbulkan keadaan ini. Pertama, sifat ilmu linguistik itu dan banyaknya bahan tentang linguistik itu harus akan membunuh sebarang minat seseorang guru bahasa yang kurang keyakinannya terhadap linguistik. Misalnya, dalam usaha mempelajari sistem bunyi bahasa Malaysia, seseorang guru bahasa harus akan menjadi gusar, dan mungkin terus kecewa, kalau dia diberikan bahan tertulis dalam bentuk ciri-ciri pembeza. Begitu jugalah dengan deskripsi tatabahasa transformasi, nampaknya seolah-olah berbelit-belit sehingga menakutkan. Selalunya deskripsi tersebut penuh pula dengan simbol-simbol matematik. Bagi ramai guru bahasa, linguistik ini masih asing dan mereka kurang faham bagaimana tatabahasa menghubungkannya dengan tugas mengajar sehari-hari. Mereka ini perlulah diberi versi yang sudah dipermudah, supaya mereka tidak berasa begitu gusar semasa menghadapi linguistik untuk pertama kalinya.
Linguistik yang Diperlukan Guru Bahasa
Ada banyak teori linguistik; dan kita hendaklah mengetahui teori yang hendak diambil untuk pengajaran bahasa. Kalau kita perluaskan iktibar yang sama, guru bahasa hanya perlu mendapatkan sesuatu faedah daripada teori itu, dan jangan terlalu bimbang tentang apa teorinya. Seorang peserta dalam Persidangan Linguistik di Stockholm pada tahun 1963 pernah memberikan perlambangan terhadap pengajaran bahasa. Dia berkata, ‘...bahawa linguistik ini boleh dibahagi dengan senang kepada bahagian-bahagiannya seperti ulas-ulas sebuah limau’. Kalau dia memilih buah lain sebagai bandingannya, mungkin akan terdapat persidangan yang lain dengan perhubungan dan kesimpulan yang berlainan pula. Iktibar ini baik. Misalnya, kita tidak perlu bimbang tentang apa jenis buah yang kita makan. Kita hanya perlu mengambil yang baik sahaja daripada setiap buah itu. Mungkin inilah sikap yang paling mudah boleh dipegang oleh seseorang guru bahasa itu, dan tidak perlu berasa lemas kerana ada terlalu banyak teori linguistik itu.
Memang hal ini tidak semudah itu apabila kita berhadapan dengan linguistik. Ada banyak teori linguistik tetapi bukan semuanya telah diterapkan sepenuhnya untuk kegunaan guru. Misalnya, dalam bidang analisis dan deskripsi, linguistik amat tidak memuaskan. Secara ringkas dapat saya katakan selain jenis deskripsi tradisional, tidak banyak terdapat deskripsi dan penjelasan tentang mana-mana bahasa telah dijalankan dengan lengkap untuk diambil dan digunakan oleh guru. Ini perlu dijelaskan lagi, tetapi sebelum itu perlulah diberi sedikit definisi linguistik dan jenis-jenis teori yang wujud sekarang.Linguistik bolehlah didefinisikan sebagai kajian saintifik tentang bahasa (J. Lyons 1968: 1). Istilah ‘saintifik’ itu bermaksud bahawa dia menggunakan eksperimen terkawal yang mengandungi faktor-faktor variabel yang telah ditentukan dengan secara objektif. Perkaedahannya juga diterangkan supaya hasilnya dapat diberi verifikasi. Jadi, kajian saintifik ini hendaklah empirikal, khusus, dan objektif (F. Dinneen 1967:4). Ini bermaksud bahawa linguistik itu adalah satu bidang ilmu yang lengkap dengan teori dan perkaedahannya, dan ketepatan hasilnya boleh diuji. Jadi, bidang linguistik tidaklah merupakan sesuatu yang hanya dihasilkan menurut agakan, tekaan atau emosi seseorang penulis sahaja.
Linguistik Normatif
Seseorang ahli linguistik berhadapan dengan banyak bahasa, tetapi guru bahasa hanya terlibat dengan satu bahasa sahaja, mungkin dua, kalau diambil kira bahasa kandung pelajar itu. Memang perlu juga dimengertikan bahawa ada bezanya antara seorang guru bahasa dengan ahli linguistik. Ahli linguistik cuba bersikap objektif dan saintifik dalam menganalisis data daripada sesuatu bahasa, tetapi seseorang guru bahasa hanya mengajarkan bentuk dan norma baku bahasa itu. Jadi, guru lebih rapat berhubung dengan aspek normatif bahasa itu daripada aspek deskripsinya. Perbezaan-perbezaan ini seharusnya membawa perhubungan yang saling melengkapi antara guru dengan ahli linguistik. Guru bergantung pada ahli linguistik untuk mendapatkan bahannya, dan ahli linguistik mengharapkan guru menggunakan hasil deskripsi bahasa yang dibuatnya. Tetapi kita hendaklah juga sedar, seperti kata Wilkins (1972), bahawa seorang guru yang cukup matang dalam tatabahasa tradisi mungkin mendapati bahawa deskripsi bahasa yang dibuat oleh ahli linguistik moden itu mengecewakan. Dia mungkin tidak akan mendapat satu pun pengetahuan hal yang sama dalam bentuk dan ungkapan baharu. Linguistik hanya mengambil jalan lain untuk menuju tempat yang sama. Memang ada banyak hal baharu yang terdapat dalam linguistik, tetapi tatabahasa tradisi juga mungkin dapat memberikan maklumat yang sama. Kita haruslah dapat bergerak bersama-sama perkembangan, dan ini adalah satu daripada perkembangan yang menuntut penyertaan kita. Sebenarnya, sebagai yang kita akan bincangkan kelak, linguistik memang mempunyai kegunaan positif yang banyak.
Linguistik Gunaan
Ada banyak kegunaan linguistik dalam mengajarkan bahasa. bidang inilah yang dikenali sebagai linguistik gunaan. Deskripsi sesuatu bahasa itu bolehlah menjadi bahan mengajar. Memang kadang-kadang bahan tersebut tidak berbeza isinya daripada tatabahasa tradisi. Tetapi memang tidak boleh disangkal bahawa salah satu daripada sumbangan linguistik ialah memberi pandangan baharu terhadap pengajaran bahasa. Oleh sebab kesukaran ini, dan juga dalam usaha menentukan bidang linguistik yang diperlukan oleh guru bahasa, maka terdapatlah beberapa buah buku yang dikarang oleh ahli linguistik bertujuan khusus untuk menyelesaikan masalah tersebut, misalnya: B Arthur (1973), M.A.K. Halliday et al. (1973), M. Kehoe (1968), P. Strevens (1977), K.C. Diller (1971), Lim Keat Boey (1975), dan lain-lain lagi. Jadi, gunanya linguistik itu ialah memberi maklumat dan analisis yang dihasilkan daripada deskripsi sesuatu bahasa tersebut, untuk dimanfaatkan dalam bidang pengajaran dan pembelajaran bahasa.
Bahan Mata Pelajaran Linguistik
Mengajar bahasa sebagai bahasa kedua memerlukan guru mengetahui masalah pelajar. Ini hanya boleh dicapai sekiranya guru mengetahui kebiasaan bahasa pelajar. Jadi, bukan ilmu linguistik sahaja yang perlu diketahui oleh seseorang guru bahasa itu, ada aspek lain yang juga penting bagi guru. Linguistik sahaja tidak akan dapat membentuk guru bahasa yang baik. Juga tidaklah dapat ditentukan nisbah antara linguistik dengan perkaedahan. Apa yang jelas ialah bahawa linguistik itu adalah penting dalam melatih guru bahasa. Apa yang jelas ialah seseorang guru itu hendaklah mempunyai pengetahuan yang cukup tentang mata pelajaran yang diajarkannya. Seorang guru matematik mesti mengetahui matematik pada peringkat yang hendak diajarkannya. Jadi, dengan alasan yang sama, seorang guru bahasa memerlukan deskripsi bahasa tersebut, termasuklah sebarang penjelasan dan cara sistem bahasa itu berlaku untuk dijadikan bahan mengajar. Inilah yang dikatakan tatabahasa pedagogi. Sebenarnya kita boleh juga menentukan pengetahuan linguistik yang diperlukan sekiranya kita tahu rancangan bahasa yang akan diajarkan itu. Sesiapa yang mengajar pertuturan hendaklah mengetahui sistem bunyi bahasa tersebut. Memang patut juga guru bahasa itu mengetahui seluruh deskripsi bahasa itu. Dia juga perlu tahu teori-teori linguistik yang akan berguna baginya semasa mengajar. Misalnya, di Malaysia, seorang guru bahasa itu perlu juga mengetahui deskripsi bahasa kandung pelajar itu, seperti bahasa Cina dan India, atau sebarang bahasa atau dialek yang berkenaan. Ini adalah untuk memudahkan guru yang mengajar tahu makna perkataan bahasa kandung pelajar dan guru dapat menerangkan menggunkannnya semasa pengajaran bahasa Melayu apabila seseorang murid tidak memahami topik pengajaran.
Pendeskripsian Bahasa
Guru bahasa memang telah lama bergantung pada deskripsi bahan yang demikian untuk menjalankan tugasnya sebagai guru di dalam bilik darjah. Tidak ada guru yang akan dapat mengajarkan bahasa tanpa pengetahuan deskripsi linguistik bahasa itu. Walau bagaimanapun, deskripsi demikian tidak boleh dikatakan sesuai dengan ilmu linguistik moden sahaja.Ungkapan Dinneen (1967) dalam mendefinisikan bahasa, amatlah sesuai digunakan di sini. Dia mengatakan bahawa deskripsi bahasa itu pada asasnya adalah bunyi-bunyi yang boleh dideskripsikan secara linear dan sistematis. Ini berlaku semasa membentuk gabungan bunyi-bunyi yang mungkin dan dalam membentuk gabungan unsur-unsur yang bermakna dalam sesuatu bahasa itu. Deskripsi bahasa itu dalam bentuk tatabahasa tradisi boleh juga digunakan, sebagai yang telah lama berlaku. Dalam mendefinisikan teori-teori linguistik ini, kita tidak bermaksud untuk hanya mengemukakan model-model deskripsi linguistik yang utarakan oleh beberapa mazhab linguistik sahaja. Kita patut juga menerima deskripsi dan penjelasan yang diterbitkan oleh ilmu linguistik secara umumnya. Kita akan melihat contoh yang dimaksudkan. Contoh deskripsi yang paling popular ialah deskripsi struktur yang dijalankan dalam tahun 50-an. Mazhab ini dianggap sebagai mazhab struktur deskriptif, dan dipelopori oleh sarjana-sarjana seperti L. Bloomfield, C.F. Hockett, h.a. Gleason, Z. Harris, R.H. Robinss, F.R. Palmer, dan lain-lain. Mazhab ini telah banyak mengeluarkan deskripsi bahasa. Setakat ini sebenarnya mazhab inilah yang menghasilkan deskripsi bahasa yang agak lengkap dengan erti kata bahawa deskripsi itu meliputi semua aspek bahasa. ini termasuklah fonetik, fonologi, morfologi, sintaksis, dan leksikon. Bahan bahasa yang sudah dianalisis ini bolehlah disifatkan sebagai menjadi bahan untuk mengajarkan bahasa. bahan demikianlah yang dihasilkan oleh ramai sarjana linguistik. Seorang ahli linguistik sahaja tidak mungkin berbuat demikian. Misalnya, untuk bahasa Malaysia sudah terdapat kajian seperti The Malay Sound System oleh Yunus Maris (1980), The Morphology of Malay oleh Abdullah Hassan (1974), The Malay Phonology and Morphology oleh Farid Onn (1976), Bahasa Malaysia Syntax oleh Nik Safiah Karim (1978), dan The Syntax of Interrogatives oleh Mashudi Kader (1981). Di samping buku deskripsi tatabahasa bahasa Malaysia ini terdapat pula beberapa buah kamus seperti Kamus Dewan (1970/1981), Nahu Melayu Mutakhir oleh Asmah Hj. Omar (1980). Mengajar Tatabahasa oleh Arbak Othman (1985), Penerbitan Kata dalam Bahasa Malaysia oleh Abdullah Hassan (1986), dan Tatabahasa Dewan Jilid I: Ayat oleh Nik Safiah Karim et al., (1986).
Hanya bahan yang meliputi semua aspek bahasa, bunyi, tatabahasa, dan makna seperti inilah yang dapat dianggap berguna dalam pengajaran bahasa. dalam hal ini, hasil dua tiga orang ahli linguistik mungkin diperlukan untuk mendapatkan deskripsi yang lebih lengkap tentang sesuatu bahasa itu. Agak sukar juga bagi seorang ahli linguistik yang bukannya seorang guru menentukan jenis model linguistik yang diperlukan oleh seseorang guru bahasa. Yang jelas ialah guru itu terpaksa memilih deskripsi dan pernyataan tatabahasa yang paling lengkap. Deskripsi yang hanya sebahagian tidaklah akan berguna sangat. Deskripsi ini tidaklah pula selalunya boleh digunakan tanpa sebarang penyesuaian. Misalnya, pengajaran bahasa bolehlah memakai hasil deskripsi linguistik seperti suatu rumusan tatabahasa. Kita tidaklah perlu mementingkan sangat sama ada kita mengatakan bentuk pasif dalam bahasa Malaysia itu ialah “Apabila objek penderita menjadi subjek penderita atau FN1 + me + KK + FN2 ® FN2 + di + KK + oleh + FN1.” Yang pentingnya ialah Ali memukul anjing menjadi Anjing dipukul oleh Ali. Dengan itu memang ada faedahnya jikalau seseorang guru bahasa itu mempunyai pengetahuan linguistik walaupun sedikit supaya dia dapat memilih apa yang baik antara model deskripsi bahasa tersebut, sama ada tatabahasa tradisi, tatabahasa transformasi, tatabahasa tagmemik, tatabahasa skala-dan-kategori, tatabahasa kasus, atau tatabahasa hubungan, dan sebagainya.
No comments:
Post a Comment