Pengertian Psikolinguistik
Kata psikolinguistik terbentuk dari kata psikologi dan kata linguistik iaitu dua bidang ilmu yang berbeza. Di mana masing-masing berdiri sendiri dengan prosedur dan kaedah yang berlainan. Namun kedua-duanya sama-sama menjadikan bahasa sebagai objek formal. Secara khususnya bidang linguistik mengkaji struktur bahasa manakala bidang psikologi pula mengkaji perilaku berbahasa atau proses berbahasa. Levelt (Marat, 1983: 1) mengemukakan bahawa psikolinguistik adalah suatu bidang pembelajaran mengenai penggunaan dan pemerolehan bahasa oleh manusia.
Tujuan mempelajari Psikolinguistik
Tujuan utama mempelajari psikolinguistik adalah untuk membantu menyelesaikan permasalahan kompleks manusia dalam pembelajaran berbahasa dan kegiatan berbahasa. Psikolinguistik menguraikan proses- proses psikologi yang belangsung jika seseorang mengucapkan perkataan-perkataan yang didengarnya pada waktu berkomunikasi, dan bagaimana kemampuan berbahasa itu diperolehi manusia ( slobin, 1974; meller, 1964; slama Cazahu, 1974). Maka secara teorinya tujuan utama psikolinguistik adalah mencari satu teori bahasa melibatkan linguistik yang boleh diterima dan secara psikologi dapat menerangkan haikikat bahasa dan pemerolehannya. Dengan kata lain psikolinguistik cuba menerangkan hakikat struktur bahasa, dan bagaimana struktur ini diperoleh, digunakan pada waktu bertutur itu. Psikolinguistik cuba menerapkan pengetahuan linguistik dan psikologi pada masalah-masalah pengajaran dan pembelajaran bahasa, pengajaran membaca permulaan dan pembacaan lanjutan, kedwibahasaan dan kepelbagaiaan bahasa, penyakit bertutur seperti gagap dan masalah–masalah lain yang berkaitan bahasa, seperti proses pengajaran dan pembelajaran bahasa di sekolah.
Ilmu Psikolinguistik dalam Pengajaran dan Pembelajaran Bahasa Melayu
Psikolinguistik ialah ilmu yang mengkaji hubungan antara bahasa dan perilaku manusia. Ini menunjukkan bahawa bahasa bukan sahaja dituturkan di bibir malahan turut diterjemahkan melalui tingkah laku manusia. Contohnya seorang guru memarahi anak muridnya yang tidak menyiapkan tugasan yang diberi. Pastinya murid tersebut akan tunduk malu, diam dan akan sedikit pasif di dalam kelas pada hari tersebut. Terbukti, bahasa memainkan peranan dan memberikan kesan kepada perilaku individu.Dalam persekitaran sekolah di Malaysia, guru bahasa Melayu memainkan peranan yang penting kerana medium komunikasi di sekolah adalah bahasa Melayu. Segala pertuturan dan arahan yang diucapkan oleh guru akan diingati oleh murid dalam minda mereka. Antara kepentingan pengetahuan psikolinguistik dalam pengajaran dan pembelajaran bahasa Melayu ialah:
i) Membantu guru Bahasa Melayu menarik Minat Pelajar
Seorang pendidik harus peka pada perubahan dan tingkah laku seseorang pelajar. Pendekatan berbahasa dengan baik merupakan salah satu teknik untuk menjadikan pelajar meminati mata pelajaran bahasa Melayu. Guru yang bercakap dengan bahasa yang baik dan memahami kehendak pelajar akan sentiasa ditunggu-tunggu kelasnya oleh pelajar. Ini semua boleh diperolehi melalui ilmu psikolinguistik yang ada pada guru tersebut. Bagi pelajar yang kurang yakin pada diri, pengetahuan dalam bidang psikolinguistik dapat dimanfaatkan oleh guru untuk membantu mereka. Psikolinguistik membekalkan para guru dengan teknik-teknik asas dalam pemerhatian dan interpretasi bahasa lisan dalam pertuturan pelajarnya.
ii) Membantu guru Bahasa Melayu menangani isu di dalam kelas
Tidak dinafikan, adakalanya para guru akan berdepan dengan masalah pelajar malas dan tidak berdisiplin. Pelajar sebegini seringkali menimbulkan kemarahan guru. Dengan ilmu psikolinguistik yang ada pada guru tersebut, guru akan cepat melihat perubahan sikap pada pelajar. Guru yang baik akan cuba memahami masalah pelajar dan menyelesaikannya. Apabila sesuatu teguran dilakukan kepada murid, guru akan sentiasa menjaga bahasa dan melihat perubahan tingkah laku pelajar disamping sentiasa menjaga air muka pelajar. Pelajar yang rasa dirinya tidak dihormati akan mula memberontak dan menimbulkan lebih banyak masalah kepada guru. Ilmu psikolinguistik akan banyak membantu mengawal pelajar sebegini.
iii) Meningkatkan Motivasi Pelajar
Guru perlu bijak memberi motivasi kepada pelajar-pelajar melalui kaedah dan pendekatan pengajaran yang digunakan. Dengan menguasai aspek psikolinguistik pelajar, guru bahasa dapat memberikan peneguhan, menggerakkan penglihatan dan mencipta rangsangan. Contohnya, dengan teknik penyoalan guru akan tahu setakat mana pengetahuan pelajar seterusnya menggunakan pengetahuan tersebut bagi memulakan pengajaran dan menjana idea pelajar. Kemampuan dan kebolehan guru bahasa memilih dan menerapkan pelbagai kaedah pengajaran membolehkan pelajar memperolehi manfaat yang maksimum daripada aktiviti pembelajaran yang dijalankan. Pelbagai teknik yang digunakan oleh guru dapat merangsang motivasi pelajar untuk belajar bahasa. Matlamat supaya pelajar mampu menguasai bahasa Melayu dengan baik akan dapat dicapai.
Arbak (1985) menyatakan pengajaran ialah satu organisasi aktiviti yang dirancang dan diolah oleh guru untuk menyampaikan pemahaman tentang maklumat atau pengetahuan tertentu kepada pelajar-pelajarnya dalam satu suasana yang dipanggil bilik darjah. Koh Boh Boon (1985) pula menyatakan pengajaran merupakan proseskompleks yang dipengaruhi oleh pelbagai unsur termasuk kualiti pengajar, kecerdasan, bakat dan minat pelajar serta pengaruh motivasi, persekitaran sekolah, rumah dan dorongan ibu bapaterhadap pelajar.
Berdasarkan pendapat di atas, bolehlah disimpulkan bahawa pengajaran bahasa merupakan cara-cara bagaimana guru menyampaikan maklumat kepada pelajarnya tentang bagaimana sesuatu bahasa digunakan. Dalam usaha-usaha menyampaikan ilmunya, guru bahasa Melayu akan menggunakan berbagai-bagai kaedah bagi membolehkan para pelajar menguasai Bahasa Melayu. Kaeadah-kaedah yang diaplikasikan pastinya bersandarkan beberapa disiplin ilmu dan salah satu daripadanya ialah psikolinguistik.
No comments:
Post a Comment