Kata Sapaan
Definisi
Kata sapaan bermaksud kaedah yang digunakan oleh sesuatu masyarakat atau bangsa untuk menegur atau menyapa seseorang, baik dalam konteks rasmi mahupun tidak rasmi. Sistem sapaan berperanan sebagai penghubung langsung antara pihak yang menyapa dengan pihak yang disapa (Awang Sariyan, 2012). Sapaan merupakan lakuan komunikasi yang digunakan oleh manusia sebagai salah satu cara untuk mempamerkan hubungan sosial antara dua penutur (Youssouf, Grinshaw & Bard 1979). Lakuan sapaan boleh dilakukan secara bersemuka atau melalui telefon (Akindele 1990) dan boleh dilakukan secara verbal atau bukan verbal atau kedua-duanya sekali.
Lakuan sapaan bersifat spesifik terhadap sesuatu budaya. Budaya yang berbeza menghasilkan lakuan sapaan yang berlainan (Ebsworth, Bodman & Carpentar 1996). Rash (2004) menyatakan bahawa kumpulan manusia mempunyai prinsip lakuan sapaan yang tertentu dan mungkin berbeza dengan prinsip tradisional yang sedia ada. Walau bagaimanapun, mereka tetap mempunyai cara tertentu untuk berkomunikasi dengan kumpulan manusia yang lain.
Jenis Sistem Sapaan
Amat Juhari Moain dalam bukunya Sistem Panggilan dalam Bahasa Melayu membahagikan sistem sapaan dalam bahasa Melayu seperti berikut:
1. Susunan kata yang digunakan pada masa membuat sapaan dan panggilan iaitu (a) sapaan yang lengkap dengan kata rujukan kehormat, gelaran atau pangkat yang disandang dan nama peribadi yang lengkap. (b) sapaan ringkas yang menyebut nama gelaran atau pangkat dengan nama peribadi
2. Sebutan senarai orang yang disapa daripada peringkat yang paling kanan hingga peringkat yang dibawahnya
3. Penggunaan kata ganti nama diri. Kata ganti nama merupakan bentuk yang lebih umum dan lebih kerap digunakan.
Pengaruh Budaya Kata Sapaan
Zamri Mahamod (2016) menyatakan responden kaum Cina dan lain-lain mempunyai pengaruh kata sapaan yang kuat dalam masyarakatnya sehingga mereka menggunakannya semasa berkomunikasi dengan pensyarah mereka. Kesemua responden yang terdiri daripada pelbagai kaum berpendapat bahawa mereka mendapat pengaruh kata sapaan daripada pensyarah mereka ketika sesi pengajaran. Rakan sekuliah responden sering menggunakan lkata sapaan dalam masyarakatnya ketika berkomunikasi. Kata sapaan telah mempengaruhi pembelajaran bahasa Melayu pelajar kerana hampir kesemua persekitarannya terpengaruh dengan budaya masing-masing.
Contoh Ayat:
1. Lu mau pegi mana?
- Penggunaan kata ganti nama diri ‘Lu’ menjejaskan kesantunan bahasa
2. Awak tolong semak kerja saya. (pelajar India meminta gurunya menyemak latihan)
- Sapaan ‘awak’ kepada guru mernunjukkan sapaan yang kurang hormat